Bahagian Mukah terletak di wilayah tengah Sarawak dan sebahagian besar kawasan ini menghadap perairan Laut China Selatan iaitu menganjur dari Balingian di sebelah Timurnya hingga ke Belawai di sebelah Barat dengan pantai sepanjang 200km. Bahagian Mukah bersempadan dengan Bahagian Sarikei di sebelah Barat Daya, Bahagian Sibu di Selatan dan Bintulu di sebelah Timur Laut. Terdapat empat buah daerah di bawah pentadbiran Bahagian Mukah iaitu Mukah, Dalat, Matu dan Daro serta empat buah daerah kecil iaitu Balingian, Oya, Igan dan Belawai.
Penghuni awal di penempatan ini secara keseluruhan berpegang kepada kepercayaan adat dan budaya kuno kaum Melanau. Mereka yang memulakan adat berkasta (adat pikul) dan kepercayaan “Kaul”. Pada zaman ini, permainan tradisional kaum Melanau diperkenalkan. Pemainan seperti “Tibow” (ayun gergasi) mendapat tempat di kalangan mereka dan dibina di halaman rumah untuk tujuan riadah ketika itu. Selain itu, ada permainan lain seperti “pisak asin” dan “pisak berapaek” yang menjadi identiti kaum Melanau.